Tayamum

Tayamum adalah gerakan menyapukan tanah yang berdebu dengan tapak tangan ke seluruh muka dan kepada kedua tangan. Ia adalah sebagai pengganti wudhu ataupun mandi junub, hanya semata-mata untuk mengerjakan solat sahaja dengan sebab waktu solat telah tiba sedangkan air tidak dijumpai. Kalau air sudah dijumpai, maka kita tidak boleh lagi bertayamum. Orang yang bertayamum untuk mengganti mandi junub, hendaklah mandi semula apabila sudah mendapat air, sebagaimana mestinya sebelum bersolat.

Bertayamum hendaklah dengan tanak suci yang berdebu. Boleh juga bertayamum dengan pasir halus atau batu yang telah dihancurkan menjadi tepung (seperti tepung atau debu yang kita yakin tidak kotor)

Boleh juga bertayamum dengan menekankan kedua telapak tangan kita ke bumi lalu dihembus kerana bumi itu dijadikan Tuhan suci bagi kita.


Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, mengatakan:

Dari Huzaifah bin Yaman, bahawa sanya Rasulullah s.a.w. pernah berkata: "Dijadikan Tuhan bagiku bumi sebagai barang yang bersih dan suci dan untuk tempat bersujud".


Ada lagi hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muuslim sebagai berikut:

Dari 'Imar bin Yasir r.a. berkata ia: Pernah aku junub, maka aku gosokkan tanganku ke tanah lalu aku ceritakan hal itu kepada Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. berkata: "Sesungguhnya sudah cukuplah begini untukmu", lalu Rasulullah memukul kedua telapak tangannya ke bumi kemudian dihembusnya kedua telapak tangannya itu lalu disapunya mukanya dengan kedua telapak tangannya dan begitu pula disapunya dua daun tangannya.


1. Sebab-sebab bertayamum

2. Perkara-perkara yang membatalkan tayamum

3. Cara-cara bertayamum


Sebab-Sebab Bertayamum

Tayamum itu dikerjakan oleh kerana adanya berapa halangan ke atas diri kita yang menyebabkan kita tidak boleh mengambil wudhu seperti:
Kita dalam perjalanan atau uzur kerana sakit.Kalau anggota badan terkena air, ia akan bertambah sakit ataupun akan lambat sembuh menurut nasihat doktor. Kerana tidak ada air.Setelah berusaha mencarinya tetapi tidak dapat diperolehi. Sudah masuk waktu solat.Dan air masih juga belum didapati.


Perkara-Perkara yang Membatalkan Tayamum

Tayamum itu akan batal apabila sudah perolehi air semula. Selain dari itu, perkara-perkara yang membatalkan tayamum adalah sama seperti perkara-perkara yang membatalkan wudhu iaitu:

Buang air kecil/besar, buang angin atau keluar sesuatu zat dari salah satu lubang kemaluan
Tidur nyenyak sehingga tidak sedar apa-apa yang berlaku ke atas diri kita
Hilang akal kerana mabuk, gila, pitam dan sebagainya
Bersetubuh ataupun mengeluarkan mani
Menyentuh, sengaja atau tidak sengaja, kemaluan atau dubur dengan telapak tangan sebelah dalam
Menyentuh, sengaja atau tidak sengaja, sesiapa yang bukan muhrim
Peringatan
Bagi orang yang sedang junub, kalau akan mengerjakan solat sedangkan air belum diketemui ataupun dilarang menyentuhnya, maka hendaklah ia bertayamum DUA KALI. Tayamum yang pertama adalah untuk pengganti junub dan yang kedua untuk pengganti wudhu ! Selagi tayamum tidak batal maka dengan tayamum yang satu kali itu kita boleh mengerjakan beberapa kali solat wajib.


Cara-Cara Bertayamum

Sebelum membuat sesuatu, disunatkan membaca Bismillahirrahmanirrahim; yang bermaksud Dengan nama Allah yang Pengasih Penyayang.


Langkah 1: Niat di dalam hati " Sahaja aku bertayamum pengganti wudhu' untuk solat fardhu kerana Allah Ta'ala", sambil menekankan kedua telapak tangan ke atas tanah atau debu yang bersih.

Langkah 2: Sapukan kedua telapak tangan yang sudah ditekan ke atas tanah atau debu tadi keseluruh muka. Sebelum menyapukannya ke muka, hendaklah dihembus kedua telapak tangan itu terlebih dahulu supaya debu atau tanahnya tidak terlalu banyak.

Langkah 3: Tekankan kedua telapak tangan sekali lagi ke atas tanah atau debu.

Langkah 4: Sapukan telapak tangan kiri kepada tangan kanan. Paling sedikit mesti sampai sehingga pergelangan tangan.

Langkah 5: Sapukan telapak kanan kepada tangan kiri. Paling sedikit mesti sampai sehingga pergelangan tangan.